Kunjungan Hormat SUK Kelantan ke TNB Platinum Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR, 22 Mei 2026 – YBM Tengku Kaya Perkasa, Setiausaha Kerajaan Kelantan, telah mengetuai delegasi Pentadbiran Kerajaan Negeri dalam satu sesi Kunjungan Hormat kepada Datuk Ir. Ts. Shamsul Bin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB bertempat di TNB Platinum, Kuala Lumpur. Turut hadir bersama ialah YB Tuan Zawawi Bin Ghazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, YBrs. Dato' Nik Raisnan (Pengarah Tanah Galian), dan Dato' Ab Pattah Hasbullah (Timbalan SUK Kelantan Pembangunan).
Pertemuan ini membincangkan pengurusan sumber air dan operasi janakuasa hidroelektrik Pergau. Langkah ini kritikal bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik ke grid nasional, di samping memperkukuh fungsi empangan sebagai sistem tebatan banjir demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Pentadbiran Kerajaan Kelantan komited menjadi role model dalam peralihan tenaga bersih dengan meneliti potensi pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di atas bumbung bangunan kerajaan. Langkah proaktif ini bukan sahaja menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), malah bakal memberikan penjimatan kos utiliti jangka panjang yang signifikan
Mendepani era mobiliti hijau, taklimat teknikal bersama TNB turut memfokuskan perancangan penyediaan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV) di lokasi-lokasi strategik premis SUK Kelantan. Ini adalah persediaan awal bagi menyokong penggunaan kenderaan elektrik dalam kalangan agensi kerajaan dan masyarakat setempat
Sesi kunjungan rasmi yang penuh bermakna ini diakhiri dengan acara bergambar sebagai simbolik keakraban hubungan dua hala dan komitmen antara Kerajaan Negeri Kelantan dan pihak pengurusan TNB.
Moga sinergi strategik ini memacu Kelantan ke arah Negeri yang lebih makmur, moden, dan mesra alam






